JENIS PERKHIDMATAN
1.KAUNSELING INDIVIDU
Kaunseling individu merupakan satu perhubungan bersemuka dimana seseorang klien mendapat bantuan daripada seorang kaunselor. Perhubungan tersebut mempunyai ciri-ciri seperti penerimaan klien secara tulen, hormat menghormati dan penekanan terhadap keperluan-keperluan dan perasaan klien (Zuraidah Abdul Rahman, 2002)
2.KAUNSELING KELOMPOK
Kaunseling kelompok merupakan sejenis perkhidmatan menolong yang dilakukan secara berkelompok dengan tujuan menolong lebih ramai individu yang mempunyai permasalahan yang sama pada satu-satu masa (Sapora Sipon).
Matlamat Kaunseling Kelompok
Corey (1990) mengemukakan beberapa matlamat ahli kelompok kaunseling yang dikongsikan bersama.
- untuk belajar mempelajari diri dan orang lain.
- untuk mendapatkan pengetahuan tentang diri sendiri dan memperkembangkan identiti diri
- untuk meningkatkan penerimaan diri, keyakinan diri, hormat diri supaya dapat melihat diri dari sudut yang baru.
- untuk menyedari bahawa ada pilihan dalam hidup dan mempelajari cara membuat keputusan secara matang.
- untuk meningkatkan arah diri, autonomi dan bertanggungjawab terhadap diri dan orang lain
3.KAUNSELING KELUARGA
Kaunseling keluarga ialah satu teknik psiko teraputik untuk meneroka dan mengubah masalah emosi masa kini yang saling berkait dalam sesebuah sistem keluarga dengan membantu ahli-ahli di dalam sistem keluarga itu mengubah corak interaksi mereka yang tidak berfungsi " Goldenberg dan Goldenberg (2002 : 133) "
Dalam proses kaunseling ahli-ahli keluarga dibantu untuk memperbaiki perhubungan mereka antara satu sama lain. Perubahan yang berlaku akan menyebabkan perkembangan dan pertumbuhan ahli-ahli keluarga. Semasa proses kaunseling juga, ahli-ahli keluarga berhadapan dengan konflik dan dibantu untuk menyelesaikan konflik yang dihadapi secara produktif supaya ke dua-dua individu dan keluarga berkembang, sejahtera dan 'subur'.
4.KELOMPOK BIMBINGAN
Menurut Zuraidah (2001) kaunseling kelompok kecil adalah pengalaman pembelajaran yang unik bagi pelajar berkerjasama menjelajah idea, sikap, perasaan dan tingkah laku, terutamanya yang berkaitan dengan perkembangan peribadi dan kemajuan di sekolah. Fungsi kaunselor di sini akan memudah cara interaksi antara pelajar dalam pengalaman pembelajaran kerana perhubungan memberi pertolongan akan terbentuk.
BENTUK-BENTUK PERKHIDMATAN
1.BERSEMUKA
Perkhidmatan ini adalah yang terbaik. Individu boleh bersemuka secara terus dengan kaunselor (melalui temujanji yang telah dibuat terlebih dahulu) kerana ini akan melancarkan komunikasi, khidmat diberikan akan lebih mudah dan mempercepatkan proses penyelesaian isu dan cabaran.
2.E-MAIL
Perkhidmatan yang ditawarkan melalui e-mail ini akan membantu dan memudahkan pelanggan yang mempunyai kekangan masa, limitasi diri untuk bergerak dan pelanggan yang enggan dikenali kaunselor. Selain itu, perkhidmatan yang berbentuk e-mail juga akan memberi keselesaan kepada pelanggan dan mereka bebas untuk meluahkan apa sahaja masalah yang dihadapi.
3.CHAT
Sesi kaunseling chat merupakan perbualan bertulis atau sembang (chatroom) di antara klien dengan kaunselor. Kaunseling melalui sesi chat merupakan satu kaedah baru dalam perhubungan menolong. Cara ini lebih mudah dan pantas.
4.TELE-COU
Merupakan satu bentuk perhubungan menolong secara tidak bersemuka melalui telefon antara seorang kaunselor dengan klien.