LIMITASI PERKHIDMATAN
- Perlu diingatkan bahawa perkhidmatan e-kaunseling adalah satu cara untuk mendapatkan bantuan. Bagaimanapun, perkhidmatan e-kaunseling tidak sama dengan perkhidmatan kaunseling bersemuka. Kaunseling bersemuka membolehkan anda bertemu kaunselor secara bersemuka dan ini membolehkan kaunselor membantu anda dengan lebih menyeluruh lagi. Anda boleh dapati perkhidmatan ini di sekolah-sekolah anda, pusat-pusat khidmat komuniti berhampiran dan juga dari klinik-klinik yang menawarkan perkhidmatan kesihatan mental.
- Tidak semua jenis masalah sesuai dengan e-kaunseling. Masalah-masalah yang membahayakan diri dan orang lain perlukan bantuan kaunseling secara bersemuka. Antara masalah yang dicadangkan untuk mendapatkan bantuan kaunseling bersemuka ialah kemurungan yang serius, kecenderungan untuk membunuh diri, penyalahgunaan dadah dan halusinasi kerana masalah-masalah ini akan ditangani secara pendekatan klinikal. Bagaimanapun, anda boleh menghubungi kami untuk mendapatkan rujukan pusat-pusat yang menawarkan perkhidmatan bersemuka berhampiran tempat tinggal anda.
- Dalam kecanggihan pembangunan internet, kemungkinan laman web ini digodam (hacked) masih ada. Bagaimanapun kami mengambil langkah berjaga-jaga dengan menyimpan data anda. Semua data klien akan dipindahkan ke komputer peribadi dan kemudian dilupuskan dari data e-mel.
- Peruntukan Akta Kaunselor 1998, terdapat klausa yang memerlukan kaunselor mendedahkan maklumat atas tuntutan undang-undang dalam kes-kes tertentu seperti berlakunya jenayah, cubaan bunuh diri dan kematian. Klausa ini memerlukan kaunselor perkhidmatan kaunseling bersemuka dan juga e-kaunseling mendedahkan maklumat yang dibincangkan dalam sesi. Bagaimanapun sekiranya perkara ini berlaku, anda akan kami maklumkan terlebih dahulu sebelum kami mendedahkannya atas tuntutan undang-undang.
- Atas tuntutan Garis panduan Perkhidmatan E-kaunseling American Counseling Association (ACA Ethical Standards for Internet Counseling, 1999), sekiranya anda berumur 18 tahun ke bawah, sila maklumkan kepada penjaga anda bahawa anda melayari laman web ini. Ini membolehkan penjaga anda tahu jenis perkhidmatan yang kami tawarkan serta limitasi perkhidmatan ini.